Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengesahkan enam pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) adalah antara lapan yang dipilih untuk menyertai fasa kedua program 'Kita Juara' menjelang Sukan Sea Kuala Lumpur tahun depan.

Beliau berkata, MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak menetapkan senarai pelumba untuk fasa pertama program tersebut.

Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan prestasi pelumba tempatan dalam kejohanan yang disertai mereka tahun ini.

Shapawi menjelaskan, selepas beberapa bulan dalam pemantauan, lapan pelumba disenarai pendek hasil perbincangan di antara MSN dan PKBM, semalam.

"Kami telah berbincang dan bersetuju untuk memilih enam pelumba TSG dan dua pelumba lain. Jadi, lapan pelumba ini akan diperhalusi lagi dalam fasa ketiga untuk memilih enam dalam skuad akhir," katanya.

Lapan pelumba terbabit antaranya pemenang pingat emas Sukan Sea 2015, Hariff Salleh, Zamri Salleh, Adiq Husainie Othman dan Anuar Manan.

Mereka akan diuji dalam tempoh enam bulan bermula bulan ini untuk dipilih ke fasa ketiga pelumba yang akan mewakili negara dalam temasya sukan serantau itu.

"Pasukan terakhir nanti akan ada enam pelumba. Apabila masuk fasa ketiga nanti, kami akan bincangkan kemudian," kata Shapawi, tanpa mendedahkan senarai lengkap nama lapan pelumba.

Tinggal 317 hari lagi menjelang Sukan Sea 2017, dengan 38 jenis sukan meliputi lebih 400 acara akan dipertandingkan.