Pemerhati dan pegawai persatuan sukan kebangsaan memuji langkah berjimat-cermat Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (MASOC) yang menggunakan hotel sebagai penginapan atlet kerana ia dapat menjimatkan ratusan juta ringgit.

Ia permulaan positif untuk MASOC apabila mengambil beberapa langkah penjimatan.

Ketiadaan perkampungan sukan selain hanya membina satu venue baru, iaitu Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dapat menjimatkan kos.

Ia selaras dengan bajet RM450 juta yang sudah diperuntukkan kerajaan.

"Selain daripada penggunaan hotel, mungkin penganjur dapat mengguna pakai beberapa universiti besar yang terdapat di kawasan Bangi dan Serdang yang dapat menampung atlet," kata pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hasaan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, turut menekankan bahawa kejohanan bertaraf dunia turut tidak menjadikan perkampungan sebagai satu keutamaan.

"Kejohanan Dunia IAAF juga tidak menggunakan perkampungan sukan, sebaliknya menginap di hotel berdekatan.

"Bagaimanapun, yang paling penting, pemakanan, keselamatan dan pengangkutan harus diutamakan," ujarnya.

Malaysia yang lima kali pernah menganjurkan temasya Sukan SEA dan Sukan SEAP, perlu bijak menggunakan dana kerajaan bagi mengelak kesilapan beberapa negara penganjur sukan.

Brazil selaku tuan rumah Sukan Olimpik Rio 2016, membelanjakan hampir RM20 bilion, lebih 50 peratus daripada dana disediakan.