Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) kembali melantik Choo Kon Lee sebagai pengendali skuad negara selepas jawatan itu ditinggalkan jurulatih dari Australia, Tracey Robinson, sejurus Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berakhir.

Kon Lee bukanlah nama asing kerana pernah membimbing skuad kebangsaan sebanyak dua kali, iaitu pada 2011 dan 2013.

Selain itu, dia juga mempunyai reputasi yang baik apabila membantu Malaysia muncul juara Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia sebanyak lima kali, bermula 2004 hingga 2013.

Atas dasar itu, PBJM dalam mesyuaratnya hari ini sepakat melantik Kon Lee untuk kembali melatih Malaysia dengan tugasan pertama menantinya adalah Kejohanan Antara Benua, bulan depan.

"Kami akan menggunakan khidmat Choo Kon Lee untuk mengharungi Kejohanan Antara Benua.

"Kami juga telah memohon kepada MSN sempena menghadapi Kejohanan Asia 2018 bagi mendapatkan khidmat rundingan daripada Australia dan beberapa nama telah dikemukakan," ujar Presiden PBJM, Datuk Suraya Yaacob.

Mengenai ketiadaan skuad bola jaring dalam perancangan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tahun 2018 ekoran tidak beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia, Suraya akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ia bertujuan membentangkan semula pelan PBJM agar dapat membentuk program buat barisan pemain negara.

"Apa yang diberitahu, selepas Februari barulah MSN dapat membuatkan keputusan," katanya.