Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, menyelar tindakan penganjur Maraton Antarabangsa Bandaraya Klang yang tidak merujuk kepada persatuan itu sebelum menganjurkan larian tersebut.

Bagi Karim, pihak penganjur seharusnya merujuk kepada KOM selaku badan induk olahraga negara.

Karim turut menyifatkan penganjur acara larian itu hanya mahu mengaut keuntungan.

Justeru, KOM akan merangka garisan panduan bagi penganjuran mana-mana acara larian selepas ini.

"Kami akan melaksanakan peraturan yang lebih tegas bagi memastikan sebarang masalah tidak akan berlaku," kata Karim.

"Pihak penganjur perlu mendapatkan permit atau acara larian itu tidak akan dijalankan," tegasnya.

Dalam insiden Ahad lalu, tiga peserta Maraton Antarabangsa Bandaraya Klang terlibat dalam kemalangan apabila dilanggar sebuah kenderaan dari belakang di Batu 2, Jalan Kapar.

Salah seorang daripada mereka, Avelyn Ang, turut mengalami kecederaan parah.

"Saya tidak pasti peserta-peserta larian ini dilindungi daripada sebarang kecelakaan yang berlaku serta perkara ini harus diberitahu kepada Pesuruhjaya Sukan," katanya lagi.