Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merancang menghantar skuad pecut negara yang diketuai Khairul Hafiz Jantan untuk berlatih di Amerika Syarikat (AS) bersama kumpulan jurulatih pimpinan legenda dunia, Maurice Greene, bagi persiapan menghadapi Sukan Komanwel, tahun depan.

Program latihan bersama kumpulan jurulatih Greene akan membuka lembaran baru buat olahraga Malaysia.

Cadangan itu dibuat susulan keputusan hebat diraih dalam program latihan di Afrika Selatan, awal tahun ini, yang menyaksikan beberapa atlet berjaya mencipta catatan peribadi terbaik.

Apatah lagi, beberapa prospek negara seperti Khairul Hafiz berpeluang mencipta kejutan dalam Sukan Komanwel Gold Coast, Australia dan Sukan Asia Indonesia, tahun depan.

"Dulu MSN (Majlis Sukan Negara) hantar atlet kita, Nazmizan (Mohamad), ke AS. Jadi, kami mahu menempatkan atlet kita di sana atau di mana-mana tempat dengan persetujuan jurulatihnya, (Mohd) Poad (Mohd Kassim).

"Kalaulah dia setuju, kami (atlet) lebih sesuai bertempat di sana," kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.

Perancangan KOM akan dibentangkan dalam mesyuarat pemilihan atlet untuk program Sukan Komanwel dan Sukan Asia di MSN, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Andai diluluskan, program latihan di AS dan Jerman, hujung tahun ini akan mengukuhkan momentum skuad olahraga yang meraih lapan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Tetapi perkara ini perlu mengambil kira soal bajet. Kami akan bertemu MSN tidak lama lagi untuk dibawa ke mesyuarat. Di situ kami akan putuskan," katanya.