Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, meminta jurulatih pecut, Mohd Poad Kassim, agar menilai semula program latihan di Jepun kerana pihaknya bersetuju untuk menghantar jaguh Sukan SEA 2017, Khairul Hafiz Jantan, untuk berguru di Manheim, Jerman, menjelang Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, Mac depan.

Perancangan awal untuk menghantar Khairul ke Jepun dilihat akan memakan kos yang tinggi, apatah lagi masa terlalu suntuk untuk menghantarnya berlatih bersama jaguh pecut muda Jepun, Abd Hakim Sani Brown, bulan depan.

Pertemuan perlu diadakan untuk menentukan hala tuju Khairul Hafiz selepas dia menamatkan penantian 14 tahun untuk Malaysia merampas semula gelaran raja pecut Asia Tenggara, bulan lalu.

"Saya telah berbincang dengan Poad agar atletnya dapat menjalani latihan di Eropah.

"Selepas berbincang, barulah kami akan mengusulkannya kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Kami mahu memberikan yang terbaik buat Khairul Hafiz supaya kita dapat menjadikannya sebagai atlet contoh dalam acara pecut," ujar Karim.

Ketika ini, Khairul Hafiz masih menjalani rawatan kecederaan hamstring yang dialaminya sewaktu temasya KL2017.

Sehubungan itu, dia tidak akan menyertai baki kejohanan musim ini, antaranya Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia di Pahang, awal bulan depan.