Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyenarai pendek jurulatih Poland, Bart Kizierowski, dan Christ Martin dari Amerika Syarikat sebagai calon pengendali skuad renang negara menjelang Kejohanan Dunia dan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai depan.

Kizierowski dan Martin sudah menjalani proses temuduga oleh pegawai ASUM dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Salah seorang akan bergandingan bersama Jefry Ho Chiah Liang selaku pengendali sementara yang mengambil alih tugas sejak Paul Birmingham meletak jawatan September lalu.

"Kedua-dua jurulatih ini telah melahirkan perenang bertaraf dunia. Malaysia tidak pernah dilatih oleh jurulatih Poland dan ia adalah suatu pengalaman baru buat skuad negara," kata Jeffrey.

Kizierowski menjanjikan program latihan berbeza memandangkan skuad negara lebih banyak menggunakan modul dari Australia dan Amerika Syarikat.

Malah, bekas pengendali negara, Birmingham dan Gavin Urquhart berasal dari Australia.

Skuad negara akan menghadapi tugas penting pada 2019 untuk melepasi had kelayakan Kejohanan Dunia dan Olimpik dengan Welson Sim sebagai taruhan terbaik.

"Welson memiliki peluang untuk layak dalam kategori A Sukan Olimpik jika dapat melakukan catatan terbaik dalam kejohanan kelayakan nanti," kata Jeffrey.