Ketua jurulatih olahraga para, R. Jegananthan, berharap agar status atlet tidak menjadi persoalan utama buat atlet lompat kijang negara, R. Kirthana, yang mengalami masalah rabun serius sehingga menjejaskan latihan dan prestasi semasanya.

Jegananthan berkata segala-galanya kini terpulang kepada Kirthana dan dia menasihatkan agar atlet kelahiran Perak itu tidak terlalu runsing memikirkan status baru yang akan dibawa sekiranya tumpuannya beralih kepada skuad olahraga para, selepas ini.

Kesanggupan Kirthana untuk menjalani pemeriksaan pakar bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan matanya sudah cukup untuk menggambarkan kesediaannya beralih ke kategori para seandainya keadaan matanya semakin serius.

"Saya amat gembira jika dia dapat menyertai kami. Bukan dia saja, malah banyak atlet di luar sana.

"Rakyat Malaysia menamakan golongan ini Orang Kurang Upaya (OKU) tetapi kami tidak membezakan mereka. Istilah atlet OKU itu perlu dihapuskan," katanya.

Kirthana mengadu sukar untuk menjalani sesi latihan harian selepas mengalami masalah rabun yang serius sejak empat tahun lalu.

Kesukaran Kirthana turut mengganggu tumpuannya dalam acara kegemarannya, iaitu lompat kijang, sehingga pada satu ketika dia dimarahi jurulatih, Viktor Sotnikov, kerana gagal menjalani latihan sempurna.

Jegananthan juga menegaskan dia melihat karier Kirthana lebih cerah jika atlet itu berani untuk menerima cabaran berbeza, namun segala-galanya terserah kepada keputusan Kirthana sendiri.

"Saya dapat tahu dan dia juga ada menemui saya berkenaan isu mata.

"Saya memberitahunya bahawa dia boleh menyertai kami dan dia mampu meraih kejayaan. Ia juga bergantung kepada keputusan doktor dan ada beberapa proses yang perlu diikuti," jelasnya.