Ketua jurulatih skuad ragbi kebangsaan, Lee Nyuk Fah, memantau keadaan semasa pemain profesional negara, Marc Le, bagi memperkuatkan lagi pasukannya menjelang aksi Kejohanan Asia Premier 2018.

Tatkala status pemain negara, K. Dhineshwaran, masih belum pasti akibat kecederaan, Nyuk Fah mengharapkan kehadiran Marc dapat mengukuhkan lagi skuad negara.

Marc ketika ini berada di New Zealand dan dijangka menyertai skuad negara apabila mereka berkunjung ke sana untuk kem latihan.

Apa yang menggusarkan Nyuk Fah adalah tahap kecergasan pemain berusia 31 tahun itu kerana dia sudah lama tidak bermain dalam perlawanan kompetitif.

Untuk rekod, Marc merupakan sebahagian daripada skuad negara yang menjuarai saingan Divisyen 1 di Ipoh tahun lalu.

"Kami akan mengenal pasti tahapnya sebaik sahaja dia menyertai sesi latihan dan juga perlawanan nanti. Ia merangkumi aspek fizikal dan tahap kecergasannya. Setakat ini, saya berpuas hati dengan sumbangannya ketika membarisi skuad negara sebelum ini," kata Nyuk Fah.

Pasukan negara baru sahaja mengharungi aksi persahabatan kedua tahun ini dengan pertemuan menentang Pilihan Johor di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sabtu lalu.

Pertemuan itu memberikan kelainan kerana ia diadakan di atas permukaan padang tiruan dengan Korea Selatan dijangka menggunakan kelebihan itu apabila mereka menanti kunjungan skuad kebangsaan nanti.

"Untuk menyesuaikan diri di atas permukaan padang tiruan, perubahan taktikal diperlukan bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi Korea," tambahnya.