Atlet boling padang wanita negara, Emma Firyana Saroji, masih memerlukan khidmat ketua jurulatih, Simon Botha, untuk terus membimbing skuad kebangsaan pada musim 2019 selepas enam tahun bersama-sama mengharungi cabaran dalam meraih pencapaian terbaik sehingga kini.

Emma telah mengenali jurulatih dari Afrika Selatan itu sejak tahun 2012 sebelum beliau dilantik sebagai ketua jurulatih pada tahun 2016.

Namun, Botha masih belum pasti ingin meneruskan khidmat bersama pasukan atau tidak disebabkan perubahan program latihan baru pada tahun depan.

Ternyata bimbingan Botha membuahkan hasil untuk Emma meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2017 selain mencipta kejutan di pentas Sukan Komanwel Gold Coast bersama-sama Siti Zalina Ahmad untuk menghadiahkan emas buat Malaysia.

Justeru, kudrat jurulatih berusia 77 tahun itu masih diperlukannya kerana Botha bukan sekadar melatih tetapi begitu mengambil berat situasi atlet walaupun di luar padang.

"Banyak lagi yang perlu dipelajari daripada Botha kerana beliau mahu kami bukan sahaja cemerlang sebagai atlet tetapi bersedia untuk bergelar jurulatih satu hari nanti," katanya.

Emma tidak menolak tahun 2019 bukan mudah kerana kontrak baru yang ditawarkan lebih mencabar bagi memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Majlis Sukan Negara (MSN) akan menilai persembahan kami berdasarkan keputusan yang diraih dan sasaran saya adalah meningkatkan lagi mutu persembahan bagi tahun 2019."