Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, meminta Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menilai semula hukuman penggantungan dua tahun terhadap Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan ekoran positif ujian doping.

Katanya, hukuman itu tidak selaras dengan peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dan beliau sudah mendapatkan maklumat awal daripada Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

"Persatuan sukan mesti mengikut peraturan WADA, dan peraturan baru WADA adalah penggantungan selama empat tahun," kata Khairy, hari ini.

"Jika tidak mengikut peraturan itu, WADA akan membuat pertikaian dan ini akan menjadi kes rujukan kepada WADA di peringkat antarabangsa.

"Apa yang berlaku seterusnya bergantung kepada WADA tetapi saya harap persatuan sukan tegas dalam mengambil tindakan terhadap ujian doping."

Constantine dan Nasir dikesan positif steroid ketika menjalani kem latihan skuad negara di China pada April lalu.

Penggantungan dua tahun bermakna Constantine dan Nasir akan terlepas Sukan SEA Kuala Lumpur dan Kejohanan Dunia di Pulau Pinang, tahun depan.

PABM sudah menjalankan siasatan dan mendakwa mereka tidak sengaja mengambil bahan terbabit.

Bagaimanapun, ia mengundang rasa tidak puas hati atlet lain seperti bekas jaguh bina badan, Sazali Samad, yang digantung empat tahun walaupun turut positif steroid.