Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berharap penganjuran Jelajah Malaysia 2016 yang bermula hari ini hingga 22 Oktober, berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sebelum ini, Khairy melahirkan kerisauan dalam penganjuran kali ini, terutama mengenai isu kewangan.

Beliau, bagaimanapun, berpuas hati dengan pendekatan penganjur yang berjaya mendapatkan penajaan.

“Saya telah memaklumkan kepada penganjur lebih awal lagi untuk mendapatkan penajaan sendiri dan tanpa mengharapkan penajaan daripada pihak kerajaan.

"Setakat ini, mereka telah berjaya melakukannya. Saya berharap jelajah ini dapat diteruskan,” kata Khairy, ketika ditemui pada majlis pelancaran Jelajah Malaysia 2016, di Dataran Merdeka, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy mahu berbincang lebih lanjut dengan Persekutuan Kebangsan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengenai hasrat persatuan itu untuk menganjurkan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2018 di Ipoh.

Khairy tampak lebih bersedia menerima hasrat PKBM jika kejohanan itu diadakan di Nilai.

“Saya akan berbincang dengan PKBM mengenai cadangan mereka untuk mengadakan kejohanan ini Ipoh.

"Bagaimanapun, pada tahun 2018, kita akan ada dua velodrom, satu di Ipoh dan satu lagi di Nilai. Mungkin velodrom di Nilai lebih sesuai digunakan kerana segala kemudahan terdapat di sana.”

Jelajah Malaysia 2016 yang akan disertai 16 pasukan dari Asia Pasifik meliputi lima peringkat sepanjang 750.2km di semenanjung Malaysia.

Laluan Jelajah Malaysia 2016

Peringkat 1, 18 Okt: Kuala Lumpur – Ipoh (206.6km)
Peringkat 2, 19 Okt : Infoternak Sungai Siput – Brinchang (108.7km)
Peringkat 3, 20 Okt : Gua Musang – Pasir Puteh (163km)
Peringkat 4, 21 Okt : Machang – Gong Badak (124.8km)
Peringkat 5, 22 Okt : Kemaman – Kuala Terengganu (147.1km)