Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengenakan penggantungan empat tahun terhadap pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, Khairul Anuar Mohamad, sekali gus menjadi atlet kedua menerima hukuman paling berat dalam sejarah kes doping negara.

Penggantungan empat tahun untuk Khairul yang dijatuhkan hari ini ekoran positif steroid adalah sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana PABM pernah mengenakan hukuman lebih ringan, iaitu dua tahun, terhadap atlet senior, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan, yang turut positif jenis bahan yang sama, April lalu.

Namun, kali ini PABM bertindak tegas kerana Khairul dikesan positif ketika Sukma Sarawak sedang berlangsung.

"Dia dikenakan hukuman empat tahun daripada tarikh pendengaran kes. Untuk makluman pada ketika itu, ketiga-tiga ahli jawatankuasa yang bermesyuarat mahukan hukuman empat tahun dijatuhkan.

"Berbeza dengan kes terdahulu, daripada tiga ahli jawatankuasa, hanya seorang yang mahukan hukuman empat tahun dijatuhkan.

"Sebagai pengerusi, saya perlu membuat keputusan. Bagaimanapun, sekiranya Khairul Anuar mahu membuat rayuan, dia boleh melakukannya kepada PABM," jelas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PABM, Abu Hanapah Ismail.

Khairul memenangi dua emas dalam Sukma Sarawak, masing-masing menerusi kategori 94 kilogram acara snatch dan clean & jerk lelaki.

Bagaimanapun, kedua-dua pingat itu sudah dipulangkan kepada PABM pada 5 November lalu.

Khairul, yang mewakili Pahang dalam Sukma Sarawak, mempunyai tempoh dua minggu untuk membuat rayuan bagi meringankan hukuman.

Ini kes ketiga membabitkan atlet angkat berat negara tahun ini, sekali gus menjadi amaran awal bahawa sukan itu perlu diberikan tumpuan khusus bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet bina badan negara, Sazali Samad, turut dikenakan hukuman gantung empat tahun bermula 22 September tahun lalu, selepas didapati positif ujian doping.