Khairul Anuar korbankan Aidilfitri demi aksi di Salt Lake City

Oleh Penulis Jemputan 11 Jun 2018 106
Khairul Anuar korbankan Aidilfitri demi aksi di Salt Lake City
Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, terpaksa memendekkan sambutan hari raya Aidilfitri bagi memberi tumpuan kepada Siri Ketiga Piala Dunia di Salt Lake City, Amerika Syarikat yang akan bermula 18 Jun ini.

Khairul merupakan antara atlet yang mempamerkan kecemerlangan dalam Siri Kedua Piala Dunia di Antalya, Turki pada Mei lalu, selepas mara ke separuh akhir saingan individu manakala dalam penentuan pingat gangsa, dia terpaksa akur di tangan pemanah Korea Selatan, Oh Jin Hyek.

Selain itu, Malaysia turut terlepas gangsa dalam acara berpasukan selepas tewas di tangan Great Britain.

Tumpuan seterusnya buat Khairul dan rakan sepasukannya adalah Siri Ketiga di Salt Lake City dan dia mengharapkan kejayaan meraih gangsa dalam edisi tahun lalu dapat diulangi.

"Saya rasa masih ada kekurangan dalam proses persiapan bagi menghadapi kejohanan. Saya terlepas aksi di Shanghai dan ia pastinya memberikan kesan kepada rentak persembahan," ujar Khairul.

Saingan di Salt Lake City bakal menjadi penentu kepada barisan pemanah recurve negara, khususnya dalam mendapatkan tempat ke saingan Sukan Asia.

Khairul dan Haziq Kamaruddin hampir pasti tersenarai bersama Akmal Nor Hasrin, sambil satu lagi tempat bakal ditentukan sama ada milik Ikram Joni atau Zariff Syahir Zolkepli.

"Untuk aksi di Salt Lake, kami masih belum mengetahui sama ada lapangan yang digunakan masih sama seperti sebelum ini atau tidak. Jika sama, keadaan angin di sana juga agak tidak sehaluan dan berubah-ubah."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen