Biarpun muncul wakil tunggal negara dalam acara heptathlon dan tidak mempunyai jurulatih tetap, ia langsung tidak mematahkan semangat Nor Liyana Kamaruddin untuk mengharumkan nama negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Nor Liyana memulakan karier sebagai atlet lompat tinggi sebelum diberitahu oleh jurulatihnya, Alim Ahmad Janov dari Uzbekistan, bahawa dia tidak menampakkan peningkatan prestasi.

Senario itu menyebabkan Liayana beralih ke acara heptathlon sejak dua tahun lepas.

Kini, dia gembira dengan keputusannya apabila sudah pun melepasi had kelayakan untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Saya agak gementar kerana ini adalah kejohanan terbesar saya.

"Saya tidak berapa mahir dalam menguasai kesemua acara, kebiasaannya saya cuma fokus dalam satu acara," katanya.

Antara cabaran yang dihadapi oleh atlet berusia 25 tahun ini adalah dia tidak mempunyai jurulatih tetap kerana heptathlon memerlukan dia untuk berlatih di bawah jurulatih berbeza.

Selepas mencatatkan 4,913 mata dalam Terbuka Malaysia, September lalu, dia berazam untuk memecahkan rekod kebangsaan, 5,175 mata, milik Datuk Zaiton Othman.

"Latihan saya lebih banyak berbanding atlet yang menyertai satu acara sahaja.

"Selain itu, saya kena mengingati pelbagai teknik dan bukan cuba fokus dalam satu aspek sahaja."