Kerajaan Negeri Sembilan sedang menimbangkan kemungkinan membaik pulih pusat boling tenpin negeri yang terletak berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi selepas ia dibiarkan tidak terurus sebaik sahaja Sukan Malaysia (Sukma) 2004 berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani, berkata kerajaan negeri perlu menimbangkan perkara itu dengan teliti terlebih dahulu memandangkan ia dijangka melibatkan kos yang besar.

Katanya, beliau perlu merujuk kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengenai kemampuan kerajaan negeri untuk mengambil alih atau membeli bangunan itu untuk dibangunkan sebagai pusat boling tenpin negeri.

"Saya tidak janji tetapi kami akan bincang daripada segi kewajaran dan kemampuan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengenalan Sazali Saidon sebagai ketua jurulatih skuad Liga Perdana Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Mohamad Taufek mendakwa pusat boling tenpin yang dianggarkan bernilai RM14 juta itu adalah milik swasta yang sudah lama ditutup dan ia menimbulkan kebimbangan orang awam tempat itu dijadikan sarang penagih dadah melepaskan gian.

-- BERNAMA