Hampir kesemua pemain skuasy terbaik negara akan membuat penampilan dalam Terbuka Malaysia yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir pada 2014.

Kehilangan penaja utama memaksa kejohanan elit itu berkubur seketika sehinggalah kehadiran sandaran baru dalam bentuk firma telekomunikasi Ohana.

Walaupun tidak mencapai taraf Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), penganjuran kali ini disifatkan sebagai kelahiran semula.

"Kami akan terus mengorak ke hadapan dengan sumber yang ada.

"Perkara paling penting adalah kejohanan ini kembali dianjurkan.

"Saya berharap dari masa ke semasa kejohanan ini semakin berkembang dan penaja bertambah," menurut Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen Daud.

Elemen paling penting sudah pasti kehadiran pemain terbaik negara kecuali Datuk Nicol David.

Pemain skuasy tanah air berupaya menyaksikan pemain nombor satu lelaki negara, Nafiizwan Adnan, Ivan Yuen, Rachel Arnold dan S. Sivasangari, mengerah keringat untuk menaikkan semula kejohanan berprestij terbuka itu.

"Beberapa tahun lalu, ini adalah pertandingan yang besar dan kita bertuah dapat menganjurkannya kembali.

"Saya akan cuba memberikan aksi terbaik selepas bekerja keras menjalani persiapan.

"Dengan kehadiran ramai pemain hebat seperti dari Mesir. Ia pasti akan menjadi sengit," kata Rachel.