Skuad silat negara menutup musim 2019 dengan catatan cemerlang apabila merangkul empat pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa dalam Kejohanan Silat Asia di Yanji, China yang berakhir hari ini.

Tiga emas berkenaan hadir dalam acara silat tanding menerusi Mohamad Hazim Amzad dalam kelas Putera C (55-60kg), Mohd Al Jufferi Jamari (Putera E - 65-70 kg) dan Muhammad Robial Sobri (Putera I - 85-90 kg), dan gandingan Nor Hamizah Abu Hassan dan Nur Syazreen Abdul Malek dalam acara silat seni ganda puteri.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berbangga dengan kejayaan tersebut memandangkan skuad silat kebangsaan terpaksa bertarung di dalam cuaca sejuk yang mencecah 15 darjah Celcius.

"Kejayaan ini merupakan satu perkara yang boleh dibanggakan kerana daripada 10 pesilat negara yang mara ke final, empat pesilat meraih emas, namun saya menasihatkan pesilat negara supaya tidak leka dengan kejayaan ini kerana banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi beberapa kejohanan tahun depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berbangga dengan semangat luar biasa yang dipamerkan beberapa pesilat negara, termasuk Mohamad Hazim yang menewaskan beberapa lawan yang lebih berpengalaman dari Vietnam dan Thailand, selain bekas juara dunia, Mohd Al-Jufferi, yang sentiasa mempamerkan aksi konsisten dalam saingan antarabangsa.

"Saya turut berbangga dengan persembahan cemerlang Muhammad Robial yang menundukkan pesilat berpengalaman dari Singapura, Sheik Ferdous Sheik Alauddin, dalam kejohanan kali ini dan saya berasa seronok apabila melihat prestasi konsisten pesilat kita," tambahnya.

Katanya, pesilat negara akan meneruskan latihan seperti biasa selepas ini bagi menghadapi tiga kejohanan antarabangsa, iaitu Kejohanan Silat Terbuka Uzbekistan di Tashkent pada Januari, Kejohanan Empat Negara di Kuala Lumpur (Februari) dan Kejohanan Silat Terbuka Belgium (Mac).

Selain empat emas berkenaan, Malaysia turut meraih lapan perak menerusi Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas Putera A (45-50 kg), Zulfazly Zulfakar (Putera D - 60-65 kg), Mohd Fauzi Khalid (Putera F - 70-75kg), Nor Farah Mazlan (Puteri A - 45-50 kg).

Pingat perak lain hadir menerusi Nur Syazerra Hidayah Idris (Puteri B - 50-55kg), Siti Shazwana Ajak (Puteri D - 60-65kg), Siti Rahmah Mohamed Nasir (Puteri E - 65-70kg) dan Luqman Laji dalam acara silat seni tunggal putera.

Lapan gangsa pula disumbangkan oleh Mohd Amir Izzat Khalid dalam kelas Putera G (75-80kg), Mahadi Che Mohd Nor (Putera H - 80-85kg), Norfadilah Mohd Zaini (Puteri F - 70-75kg), Ester Tera Empi (bebas puteri - lebih 75kg).

Pingat gangsa lain diraih oleh gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga dalam acara silat seni ganda putera, Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah dan Nashrul Edzam Mohd Asri (regu putera), Nur Syafiqah Hamzah (tunggal puteri) dan gandingan Siti Nur Khairunnisa, Nur Fadhilah Wani dan Fatin Ardani dalam kategori regu puteri.

-- BERNAMA​​​​​​


Editor: Muzaffar Musa