Kejohanan Remaja British 2017 bakal menjadi medan terakhir buat pemain muda negara, Ng Eain Yow, meraih gelaran terakhir sebelum beralih ke kategori senior tahun hadapan.

Pemain berusia 18 tahun ini masih mencuba untuk menyesuaikan diri menjadi seorang pemain senior.

Ketika di Kejohanan Skuasy Kebangsaan tempoh hari, Eain Yow berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga.

Beraksi di Britain Januari nanti, ia bakal menjadi kejohanan remaja terakhir buat Eain Yow sebelum beralih sepenuhnya ke saingan senior.

"Sedih dan gembira dalam masa yang sama, beraksi di Britain merupakan kejohanan remaja terakhir saya dan selepas ini saya akan beralih menjadi pemain senior," ujarnya.

Berdasarkan ranking dunia kini, Eain Yow berada di tangga ke-118.

Untuk melonjakkan prestasinya, dia berhasrat untuk mengikuti jejak langkah pemain senior yang lain berlatih di luar negara.

Antara pemain negara yang berkelana di luar negara adalah Nicol Ann David di Amsterdam, Belanda dan Nafiizwan Adnan di England.

"Setakat ini, kami masih berbincang untuk memilih tempat untuk berlatih serta menyertai beberapa kejohanan di Eropah."