Kejohanan Lebuhraya Asia: Harrif, Aiman dalam radar skuad negara

Oleh Ammar Hakim 17 Februari 2020 128
Kejohanan Lebuhraya Asia: Harrif, Aiman dalam radar skuad negara
Prestasi hebat pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG) Harrif Salleh dan Muhammad Nur Aiman Zarif (Team Sapura Cycling) menarik minat skuad kebangsaan untuk menggunakan khidmat mereka menjelang Kejohanan Lebuhraya Asia (ACC).

Jurulatih negara, Mohd Yusof Abd Nasir, sedang mengenalpasti beberapa pelumba kelab untuk ditawarkan tempat dalam skuad kebangsaan ke ACC.

Antara yang tersenarai, Harrif yang menjuarai dua peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) sementara Aiman meraikan kejayaan menjadi penyarung jersi merah raja bukit.
Yusof masih menunggu tarikh muktamad ACC yang ditunda ekoran kebimbangan jangkitan wabak coronavirus sebelum menawarkan tempat kepada enam pelumba terbaik.

"Mereka adalah dua pelumba tempatan terbaik ketika ini. Kami masih lagi mempertimbangkan mereka untuk diterapkan ke dalam skuad negara bagi menghadapi ACC," kata Yusof ketika ditemubual oleh Bazly Azmi dalam Nadi Arena.

Jika Harrif ditawarkan tempat, persoalan siapa akan menjadi pelumba sokongan pakar pecut itu.

Ketika ini, Yusof sedang mempertimbangkan beberapa nama.

"Buat masa sekarang, Izzat Helmi [dan] Anuar Manan [adalah di antara yang akan] dipilih sebagai pelumba sokongan kepada Harrif," kata Yusof.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen