Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2019 menyaksikan kebangkitan semula dua pemain yang membuktikan kewibawaan sebagai senior skuad wanita.

Low Wee Wern dan Rachel Arnold berentap bagi merebut gelaran terbaik kebangsaan bagi saingan wanita.

Wee Wern melalui pengembaraan panjang sejak pertengahan 2018 untuk mencipta kebangkitan semula selepas siri pembedahan lutut.

Rachel pula tenggelam di sebalik kemerosotan prestasi kepada pemain lebih muda seperti S. Sivasangari.

Final menyaksikan Wee Wern muncul juara buat kali pertama sejak 2014 sementara Rachel ke final hasil aksi memberangsangkan, termasuk menyingkirkan Sivasangari yang juga juara bertahan.

"Ia membuktikan kerja keras mampu menghasilkan keputusan. Mereka telah menampilkan permainan cemerlang dan skuad wanita negara kini berada di tahap berbeza menerusi persaingan antara pemain.

"Wee Wern telah bangkit dan membuktikan dia masih mampu beraksi di tahap tertinggi dan kami sangat gembira dengan perkembangannya," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam.