Misi atlet karate-do negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, menamatkan kemarau pingat Kejohanan Dunia sejak enam tahun lalu terjejas apabila kecederaan buku lalinya bertambah serius selepas tersingkir dalam pusingan kedua Kejohanan K1 di Tokyo, Jepun, minggu lalu.

Syakilla yang baru tiba di tanah air tidak dapat menyertai sesi latihan skuad kebangsaan ekoran kecederaan tersebut.

"Saya sedang bersedia untuk menghadapi Kejohanan Dunia, kecederaan ini hadir sebelum saya ke Tokyo.

"Untuk saya mendapatkan mata kelayakan, saya perlu ke kejohanan itu," katanya.

Bagi Syakilla, kecederaan itu tidak akan menghalangnya daripada menyertai Kejohanan Dunia di Madrid, bulan depan.

"Saya tidak akan menarik diri kerana Kejohanan Dunia menawarkan mata yang tinggi untuk kelayakan Sukan Olimpik.

"Sewaktu di Tokyo, saya terpaksa pergi ke sana berseorangan dan saya perlu melakukan segalanya sendiri.

"Apapun, saya pamer persembahan yang lebih baik berbanding ketika saingan Sukan Asia 2018.

"Prestasi itu saya akan kekalkan sehingga ke Kejohanan Dunia nanti."