Kategori pemain ASEAN diperkenalkan buat kali pertama dalam Kejohanan Golf Maybank di Saujana Golf & Country Club (SGCC), 9-12 Februari tahun depan.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata kewujudan kategori itu bertujuan untuk menaikkan mutu golf dalam kalangan pemain rantau ini.

Semua pemain yang layak akan dipilih secara merit daripada kedudukan ranking Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA).

Pengenalan kategori terbabit nyata menggembirakan atlet golf negara, Gavin Kyle Green, yang sedia memberi cabaran hebat terutama kepada pemain dari Thailand.

"Sudah tentu ia sesuatu yang dibanggakan. Seperti yang saya katakan, tiada perubahan, lapangan di sana dan anda akan bermain. Keputusan akan datang kemudian dan (sebarang keputusan) kamu boleh terjadi selepas itu," katanya.

Mengulas mengenai prestasinya sepanjang 2016, pemain berusia 22 tahun itu menganggap pencapaiannya cukup baik terutama selepas beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

Selain itu, dia juga berjaya memenangi dua Kejohanan Jelajah Pembangunan Asia, sekali gus meletakkan dia berada dalam landasan tepat sebelum mampu bersaing di Jelajah Asia.

"Persembahan saya jauh lebih lebih baik berbanding enam bulan pertama sebagai pemain profesional. Saya dapat menyesuaikan diri, juga dalam kejohanan besar seperti Olimpik.

"Sudah tentu saya akan buat lebih baik dan tampil lebih bijak juga," tambahnya.

Kejohanan Golf Maybank 2017 menawarkan hadiah keseluruhan USD3 juta (RM13.4 juta).