Kejohanan Golf BMW: McIlroy teraju, peluang Woods semakin kelam 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 Ogos 2020 41
Kejohanan Golf BMW: McIlroy teraju, peluang Woods semakin kelam 
Rory McIlroy mencatat 1 di bawah par 69 untuk mengungguli separuh akhir Kejohanan Golf BMW, pagi tadi. 

Dalam misi memburu kejuaraan sulungnya tahun ini, pemain Ireland Utara itu muncul pendahulu dalam aksi sukar di Olympia Fields Country Club berkenaan. 

McIlroy di tempat ketiga dalam pusingan kedua play-off Piala FedEx itu tetapi agak goyah di penghujung lima lubang terakhirnya apabila kerugian dua pukulan. 

Juara 2012 itu kemudian berkongsi kelebihan satu pukulan sebagai pendahulu di samping pemain Amerika Syarikat (AS), Patrick Cantlay (68) -- dua pemain tunggal dengan catatan di bawah par. 
 
Pemimpin pusingan terdahulu,, Hideki Matsuyama (73) dan pemain nombor satu dunia, Dustin Johnson (69), pula terikat di tangga ketiga sementara juara dua kali, Johnson, melakukan birdie berturut-turut untuk menyempurnakan pusingan hari ini.

Dalam masa sama, Adam Scott (69), Brendon Todd (68), Louis Oosthuizen (69), Tony Finau (71) dan Billy Horschel (71) masing-masing terikat di tempat kelima menuju satu lagi baki pusingan. 

Mackenzie Hughes (73), Kevin Kisner (70) dan Bubba Watson (70) juga tetap mengintai peluang apabila dibezakan dengan satu pukulan. 

Juara bertahan, Justin Thomas, semakin tercicir selepas merakam empat di atas par 74 untuk tujuh pukulan terlebih.

Walaupun tiada pemain yang akan digugurkan bagi 36 lubang terakhir, Tiger Woods dan Jason Day berdepan di situasi bahaya terlepas Kejohanan Jelajah.

Woods mencatat 75 untuk terlebih lapan pukulan, iaitu dua pukulan lebih baik daripada Day (74).

Dengan 30 pemain teratas akan layak ke Kejohanan Jelajah, Woods kini di tangga ke-63 Piala FedEx, sementara Day ke-58.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen