Bekas pemain futsal negara, Addie Azwan Zainal, mengakui inilah masa terbaik buat skuad futsal negara untuk mara lebih jauh dalam saingan peringkat tertinggi selepas berada dalam kumpulan seimbang dalam Kejohanan Futsal AFC di Taiwan, Februari depan.

Skuad futsal negara berjaya mengelak bertemu awal pasukan handalan Asia seperti Iran, Jepun mahupun Thailand dalam kejohanan itu.

Sebaliknya, Malaysia akan berdepan pasukan yang dianggap sama handal iaitu dengan tuan rumah, Taiwan, Vietnam dan Bahrain dalam Kumpulan A.

Tatkala pengendali negara, Chiew Chun Yong, tidak menganggap ia cabaran mudah buat pasukannya, Addie menyuarakan pandangan sebaliknya. Apatah lagi, undian sebelum ini sering tidak memihak Malaysia setelah bertemu awal dengan Thailand dan Jepun dalam edisi 2014 serta Australia pada 2016.

"Ia berkaitan dengan psikologi. Apabila diundi dalam kumpulan yang kuat, pemain akan mula memikirkan soal kesukaran untuk memenangi perlawanan.

"Undian kali ini seimbang walaupun kita bakal berdepan dengan Vietnam yang pernah layak ke Piala Dunia. Tiada masalah untuk skuad kebangsaan meraih kemenangan ke atas mereka pada kali ini selain menyasarkan satu lagi kemenangan di peringkat kumpulan.

"Peluang untuk kita layak ke peringkat seterusnya agak besar sebenarnya," kata Addie.

Sementara itu, Addie yang merupakan jurulatih futsal Felda United berharap agar Liga Futsal Kebangsaan (LFK) dapat diadakan tahun depan selepas perkembangan penganjuran liga itu kembali sepi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Ia platform untuk kami cungkil bakat dan mengetengahkan pemain baru bagi mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2020, tahun depan," ujarnya lagi.