Malaysia meneruskan persembahan membanggakan dengan menambah satu pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Boling Tenpin Asia Ke-25 di Kuwait, hari ini.

Skuad negara yang terdiri daripada Sin Li Jane, Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Nur Syazwani Sahar dan Shalin Zulkifli merangkul perak dengan mencatatkan 6,825 jatuhan pin dalam acara lima sepasukan.

Korea Selatan mengekalkan emas yang dimenangi pada 2016 di Hong Kong dengan 7,045 jatuhan pin manakala Taiwan memperoleh gangsa dengan 6,781 jatuhan pin.

Li Jane pula merangkul pingat keempatnya selepas memenangi gangsa dalam kategori ‘all events’ selepas mengumpulkan 5,714 jatuhan pin dalam empat acara: perseorangan, beregu, trio dan lima sepasukan.

Korea Selatan merangkul emas dan perak menerusi Lee Nayoung dan Baek Seungja dengan masing-masing mengumpulkan 5,884 dan 5,760 jatuhan pin.

Malaysia masih mendahului kutipan pingat dengan lima emas, satu perak dan empat gangsa, diikuti Korea Selatan (3-3-2) dan China di tempat ketiga (1-1-1).

-- BERNAMA

Kredit foto: Team Malaysia