Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini perlu cari tarikh lain untuk melangsungkan Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan selepas kerajaan menetapkan tiada sebarang saingan dapat dianjurkan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 31 Ogos ini.

Tarikh untuk penganjuran kejohanan itu dikeluarkan oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), dengan PKBM sepatutnya melangsungkannya bulan ini.

Bagaimanapun, susulan penularan wabak Covid-19, ia kemudian ditunda ke Ogos.

Namun, kini berdasarkan ketetapan baru ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), PKBM perlu memohon kepada UCI untuk mendapatkan tarikh baru bagi menganjurkan kejohanan itu.

PKBM akan berusaha untuk memastikan saingan itu dapat dijalankan tahun ini, memandangkan ia bakal beri mata ranking buat pelumba yang menyertainya.

Namun, jika ia tidak dapat dianjurkan berdasarkan polisi kerajaan, tiada sebarang denda akan dikenakan oleh UCI kepada pihak PKBM.

"Kejohanan Kebangsaan ini dianjurkan bagi memberikan mata kepada pelumba negara," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab.