Kejayaan Jonathan kebanggaan Sabah -- Phoong

Oleh Willie Jude 12 November 2019 264
Kejayaan Jonathan kebanggaan Sabah -- Phoong
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, menyifatkan kejayaan Jonathan Wong Kar Gee memenangi pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai sebagai sesuatu yang amat membanggakan bagi negeri berkenaan. 

Lebih manis lagi, kejayaan itu juga membolehkan Jonathan melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Jepun.

Phoong berkata usaha gigih yang ditunjukkan atlet berasal dari Kota Kinabalu itu telah membuahkan hasil dan perlu menjadi contoh kepada semua atlet di negeri ini.

"Saya memuji usaha gigih Jonathan dan menyifatkan dia yang cemerlang dalam sukan sememangnya menjadi teladan kepada anak-anak muda Sabah.

"Saya berasa amat bangga dengan kejayaannya dan berharap anak-anak Sabah yang berbakat terus menyerlah di pentas dunia," katanya ketika menyambut kepulangan atlet berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi. 

Pada 31 Ogos lalu, Jonathan memberikan hadiah Hari Kebangsaan 2019 kepada rakyat Malaysia apabila menjuarai Grand Prix Terbuka Dunia Handisport  di Paris, Perancis.

Atlet berumur 28 tahun itu melakukan lompatan sejauh 7.03 meter untuk memenangi pingat emas di Stadium Paris Charlety.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen