Kejayaan dalam Sukan SEA 2019 menjadi penyuntik semangat buat pemain skuasy negara, Addeen Idrakie Bahtiar, untuk memperbaiki prestasinya tahun ini dengan latihan lebih tertumpu terhadap tahap kecergasannya.

Sebelum ini, Addeen menepati ramalan apabila berjaya meraih dua pingat emas dalam Sukan SEA di Filipina menerusi acara berpasukan dan juga individu.

Aksi final acara individu menyaksikan dia dengan mudah menewaskan wakil tuan rumah, Robert Garcia, 11-7, 3-11,11-9, 11-5.

Bagi tahun ini, dia lebih tertumpu terhadap tahap kecergasannya kerana itu menjadi antara faktor utama perbezaannya dengan pemain skuasy bertaraf tinggi.

"Saya rasa perlu tingkatkan fizikal, jadi kena tambah kecergasan dan kekuatan. Jika dapat atasinya, saya yakin mampu melangkah jauh," katanya.

Ujian pertama wakil kebangsaan itu bakal bermula awal bulan depan dengan misi peribadi untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

"Bulan depan ada kejohanan di Pakistan, ia agak besar. Saya menyasarkan suku akhir tetapi bakal bertemu wakil Mesir dalam pusingan kedua. Namun, saya yakin dengan latihan yang telah diharungi untuk melangkah jauh."



Editor: Nafis Abdullah