Selepas menjaguhi edisi di Kuala Lumpur pada 2017, kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 70 pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019 mencetuskan banyak persoalan.

Membawa harapan menggunung untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan sukan negara di pentas Asia Tenggara itu, ia tidak berakhir seperti yang diharapkan.

Ternyata keterujaan persatuan sukan meletakkan sasaran mengundang padah apabila kontinjen negara dibezakan dengan 15 pingat emas daripada sasaran yang sepatutnya.

Akibatnya, pihak sekretariat terpaksa menanggung beban dalam menjawab setiap persoalan gara-gara kegagalan itu.

"Ada persatuan yang terlebih yakin dalam meletakkan sasaran mereka," kata ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

"Kita juga tidak dapat menafikan mutu pengadilan yang agak mencabar kali ini.

"Kita hampir kehilangan dua pingat emas jika kami tidak bersungguh-sungguh dalam membuat bantahan," katanya.

Ketika kontinjen negara dilanda situasi murung, masih ada atlet yang mampu mencuri tumpuan.

Ramai atlet yang membawa reputasi besar gagal menyerlah tetapi masih ada yang mencuri tumpuan biarpun tidak diletakkan sebarang harapan.

Siapa sangka dengan tenggelamnya Khairul Hafiz Jantan dalam acara pecut, seorang jaguh baru yang mengisi slot gantian sudah bersedia untuk menempa nama.

Haiqal Hanafi mengejutkan ramai pihak apabila mengungguli acara 100 neter dengan larian sepantas 10.35 saat, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi Khairul Hafiz di Kuala Lumpur.

"Saya akan cuba melayakkan diri dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia tahun depan.

"Selain menyertai Sukma (Sukan Malaysia), saya juga akan mencuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Walaupun saya mencapai prestasi terbaik dengan 10.35 saat dalam acara 100 meter, ia masih belum cukup bagus buat saya.

"Jadi, saya perlu memperbaiki dan menganalisis kembali (larian saya) untuk kejohanan yang akan datang," katanya.

Sukan karate juga menyaksikan kemunculan P. Madhuri yang seakan-akan kelahiran semula bekas jaguh negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, yang dilanda pelbagai isu sehingga mengambil keputusan untuk bersara menjelang Sukan SEA lalu.

Dengan pingat emas yang diraihnya, Madhuri mengotakan janjinya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Syakilla.

"Syakilla adalah senior saya.

"Dia seorang pejuang dan suri teladan buat saya.

"Saya mahu beraksi sepertinya kerana dia idola saya," katanya.

Sensasi sama turut dapat dilihat dalam sukan badminton apabila S. Kisona, yang dipilih sebagai pengganti kepada Goh Jin Wei, menamatkan temasya itu dengan pingat emas acara perseorangan wanita.

Semangat melawan yang ditunjukkan atlet bukan pilihan itu perlu dijadikan contoh buat kesemua atlet negara.

"Saya hanya menuruti apa yang sudah dirancangkan jurulatih.

"Sasaran saya hanyalah untuk memperbaiki kedudukan ranking kerana mahu menyertai kejohanan di tahap yang lebih tinggi," katanya.

Apa yang pasti, penganjuran Sukan SEA kali ini membawa pelbagai rencah pada penghujungnya.

Dalam kita kecewa dengan kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran, masih ada harapan baru dicetuskan barisan muda negara untuk diketengahkan sebagai jaguh baru dalam tempoh tiga hingga lima tahun yang akan datang.


Editor: Muzaffar Musa