Skuad ping-pong negara menganggap kegagalan dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Portugal minggu lalu memberikan hikmah dalam memperbaiki mutu permainan mereka.

Pemain lelaki negara, Ashraf Haiqal Rizal, mengakui tahap pemain negara masih terlalu jauh untuk bersaing dengan negara-negara lain dalam kejohanan itu, yang turut menawarkan slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Baginya, kegagalan itu membuka mata mereka untuk memperbaiki segala aspek dalam permainan bagi menghadapi Kejohanan Individu Asia, April depan.

"Tahap kami dengan pasukan yang menyertai kejohanan kelayakan kali ini memang agak jauh.

"Tetapi kami dapat belajar banyak perkara dalam kejohanan itu.

"Saya dan rakan-rakan perlu meningkatkan prestasi.

"Kami agak kurang dalam menerima servis.

"Saya rasa setiap pemain sudah tahu kelemahan masing-masing.

"Jadi, kami perlu memperbaiki kelemahan itu," katanya.



Editor: Muzaffar Musa