KBS senarai 4,000 atlet, pegawai sebagai penerima vaksin

Oleh Muzaffar Musa 21 Februari 2021 72
KBS senarai 4,000 atlet, pegawai sebagai penerima vaksin
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyenaraikan nama 4,000 atlet dan pegawai kepada Kementerisan Sains dan Teknologi (MOSTI) sebagai penerima vaksin COVID-19.

Jelas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pihaknya telah memberikan senarai nama itu kepada MOSTI dengan atlet dan pegawai yang akan ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan diletakkan sebagai keutamaan.

"Saya sudah menghantar senarai keutamaan itu kepada saudara Khairy (Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan dia akan melihatnya," kata Reezal Merican kepada Astro Arena.

"Tetapi peringkat awal ini, yang akan diberikan keutamaan adalah Olimpian dan pegawai yang akan ke Sukan Olimpik.

"Selain itu terdapat juga (nama) atlet kita yang akan beraksi di pentas dunia.

"Semuanya telah dirangkumkan daripada segi Sukan Olimpik, Sukan SEA, Sukan Asia dan kemudian pemain dalam liga-liga penting yang mencorakkan ekosistem sukan di negara kita seperti MFL (Liga Bolasepak Malaysia), STL (Liga Sepak Takraw), MHL (Liga Hoki Malaysia) dan juga sukan-sukan lain.

"Ia akan diperincikan dari semasa ke semasa tetapi keutamaan pada waktu ini adalah buat mereka yang akan menyertai Sukan Olimpik," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen