KBS beri lampu hijau kepada MSN

Oleh Ammar Hakim 27 Jun 2020 58
KBS beri lampu hijau kepada MSN
'Bukan 1 Julai, tetapi 5 Julai', Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan lampu hijau untuk Majlis Sukan Negara (MSN) memanggil semua atlet dari pelbagai program bawah naungan badan induk itu bermula Ahad depan untuk kembali memulakan progam latihan masing-masing.

Ia diumumkan selepas mesyuarat lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, hari ini.

Ia akan melibatkan keseluruhan semua atlet negara di bawah Program Podium dan pelapis, kebangsaan di semua cawangan MSN termasuk di Kampung Pandan dan Keramat, Akademi Mohktar Dahari, Gambang serta Velodrom Nasional.

Bagaimanapun, mereka akan melapor diri secara beperingkat dan perlu menjalani ujian swab sebelum dibenarkan berlatih seperti biasa di MSN.

"Semua akan dipanggil semula dan mereka akan menjalani ujian swab terlebih dahulu sebelum kembali menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Untuk atlet di bawah Program Road to Tokyo (RTT) yang akan berakhir 30 Jun ini, mereka juga dilepaskan dan perlu kembali semula lapor diri 5 Julai.

"Sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), SOP Sukan dan Rekreasi fasa 2 yang telah diberikan kelulusan tetap akan digunapakai dan mematuhi setiap langkah yang telah ditetapkan bagi memastikan atlet-atlet kembali menyambung program latihan yang tertangguh sejak Mac lalu."

Rata-rata acara sukan dan atlet bukan dibawah program RTT lega selepas mendapat lampu hijau kembali berlatih.

Ia ibarat dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, kerana KBS serta MSN mendengar suara mereka yang risau tentang prestasi semakin merundum ekoran tiada latihan selama tiga bulan.

"Walaupun program telah diberikan, saya tidak mengetahui kekurangan dalam intensiti latihan yang dilakukan," kata pesilat negara, Al-Jufferi Jamari.

"Kami sekarang masih lagi membuat rangka latihan yang bersesuaian untuk keadaan semasa," kata atlet ping pong negara, Ashraf Haiqal Rizal.

"Kini kami boleh kembali berlatih di gelanggang seperti biasa. Tetapi kami mahu memastikan latihan asas perlu menjadi keutamaan bagi mengelak daripada melakukan teknik yang di tahap lebih tinggi," kata ketua jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen