Atlet memanah kebangsaan, Haziq Kamaruddin, menasihatkan setiap atlet melakukan rujukan mendalam sebelum mengambil sebarang bahan sampingan bagi mengelak gagal ujian doping.

Atlet kelahiran Johor ini mengakui kes doping kali ini sedikit-sebanyak menjejaskan imej sukan memanah kerana ini adalah kali pertama membabitkan atlet sukan itu.

Haziq berharap setiap atlet lebih berhati-hati dalam mengambil bahan tambahan yang perlu mendapat kelulusan Institut Sukan Negara (ISN) atau Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) bagi memastikan ia tidak mengandungi sebarang bahan terlarang.

Tambah Haziq, setiap atlet perlu sentiasa waspada dengan isu ini kerana ia pasti memberi kesukaran apabila berdepan hukuman penggantungan.

"Atlet perlu ambil langkah selamat kerana kita tidak tahu apa kandungan bahan yang kita ambil.

"Bila kita tahu apa kandungan bahan tersebut, barulah boleh diambil kerana kita mahu karier sukan bertahan untuk tempoh masa panjang.

"Tetapi apabila sudah 'kantoi' doping, ini memberi masalah untuk atlet," jelasnya.

Walaupun sudah ke Sukan Olimpik, Haziq mengakui dia sentiasa melakukan rujukan dengan ISN dan ADAMAS sebelum ini jika mahu mengambil mana-mana bahan tambahan.

Haziq juga hampir mengambil bahan tambahan yang mengandungi bahan terlarang, namun berjaya mengelakkan dirinya terjebak dengan kes doping kerana melakukan rujukan terperinci dengan pegawai ISN dan ADAMAS terlebih dahulu.

"Saya akan mengambil gambar terlebih dahulu dan akan berkongsi dengan pakar nutrisi dan Adamas dan selepas disahkan bahan tersebut selamat, barulah saya akan ambil kerana perkara ini sangat penting."