Prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam Kejohanan Boling Padang Asia Ke-12 dan Sukan SEA Kuala Lumpur membuatkan barisan kejurulatihan skuad boling padang negara pening kepala untuk menyenaraikan barisan pemain dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, April depan.

Skuad boling padang negara hanya perlu menyenaraikan lima pemain lelaki dan lima pemain wanita ke Sukan Komanwel sebelum hujung tahun ini.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi semasa termasuk kejayaan membolot lima pingat emas dalam Kejohanan Boling Padang Asia Ke-12 di India membuatkan ketua jurulatih, Simon Botha, berdepan kesukaran memilih barisan terbaik.

Menurutnya, dia akan menjalankan beberapa penilaian lagi termasuk perlawanan ujian bertemu pasukan dari luar negara sebelum membuat keputusan akhir.

"Pening kepala saya ini semakin kuat.

"Ia akan bertambah sukar (untuk memilih pemain). Mereka harus berbincang dan ia cabaran untuk membuat pilihan," katanya.

Boling padang menjadi antara sukan yang menjalankan perancangan lebih awal untuk menghadapi Sukan Komanwel apabila semua atlet terpilih akan berkampung di Gold Coast lebih awal, iaitu pada Februari depan.

"Kami akan menjemput pasukan luar, mungkin Scotland dan Afrika Selatan untuk menguji prestasi kami.

"Selepas itu, kami akan berkampung untuk Sukan Komanwel dari Februari nanti," kata jurulatih, Zuraidi Puteh.

Skuad boling padang yang baru tiba dari India hari ini meraih lima emas untuk muncul juara keseluruhan melalui acara perseorangan lelaki dan wanita, berpasangan lelaki dan wanita serta berpasukan wanita.