Johnathan tumpu perhatian terhadap pelajaran

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2017 92
Johnathan tumpu perhatian terhadap pelajaran
Atlet menembak negara, Johnathan Wong, mahu menggunakan kesempatan musim rehat ketika ini bagi menumpukan semula terhadap pengajiannya yang sudah sekian lama tertangguh.

Tamat sahaja Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu, semua atlet di bawah kelolaaan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah tidak lagi mempunyai sebarang program.

Tempoh ini dianggap rehat buat kebanyakan atlet memandangkan mereka sudah bertungkus-lumus hampir dua tahun, malah kejohanan kompetitif juga sudah makin berkurangan menuju penghujung tahun ini.

"Masa ini saya masih belajar, jadi semester baru bermula pada bulan lalu. Ssaya mahu fokus kepada pelajaran. 

"Cuma sekarang ini, kami masih ada persiapan untuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Jadi, latihan tetap akan dijalankan," katanya.

Tambah Johnathan, dia mahu kembali fokus kepada pelajaran dan berazam mahu menamatkannya pada 2019.

Pelajar Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tetap meneruskan latihan tetapi tempohnya dikurangkan daripada lima jam kepada satu setengah jam sehari.

Masih ada satu lagi kejohanan yang bakal disertai Johnathan sebelum menutup kalendar 2017, iaitu Kejohanan Dunia di New Delhi, India yang bermula hari ini.

"Kami tidak sama dengan pelajar biasa sebab masa kami tidak sepenuhnya kepada kursus itu. Pada tahun ini, saya sepatutnya sudah habis tetapi saya terpaksa melanjutkan masa belajar kerana kekurangan jumlah jam.

"Jadi, sekarang ini, saya akan cuba habiskannya," kata atlet dari Melaka itu.

Johnathan merupakan antara penembak negara yang pernah menimba pengalaman beraksi dalam Sukan Olimpik Rio tahun lalu. 

Hasil daripada pengalaman itu, dia berjaya meraih emas dan perak dalam Sukan SEA, Ogos lalu.

Johnathan Wong

Umur: 25 Tahun
Asal: Melaka
Pencapaian Terbaik :

• Satu emas & satu perak Sukan SEA 2017
• Satu emas Kejohanan Asia 2016    
• Satu perak & satu gangsa Kejohanan Trofi Ally Ong 2016
• Satu emas Kejohanan SEASA 2015
• Satu perak & satu gangsa Sukan SEA 2015
• Satu gangsa Sukan SEA 2013
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen