Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman, mahu mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam penampilan keduanya dalam Siri Berbasikal Jelajah Selangor yang membuka tirai esok.

Sebelum ini, laluan yang melibatkan kawasan tinggi di Filipina menyebabkan Zawawi terpaksa akur menamatkan saingan acara individu di tempat ke-16 dalam Sukan SEA Ke-30.

Bagaimanapun, dia tetap berpuas hati dengan prestasinya di Filipina meskipun tidak meraih podium dan kini merancang untuk menebusnya dengan kemenangan dalam Jelajah Selangor.

Buat masa ini, Zawawi yang bebas kecederaan tetap berwaspada dengan laluan yang bakal ditempuhi dalam Jelajah Selangor yang dilihat lebih sukar berbanding dua tahun lalu.

"Sukan SEA tempoh hari merupakan perlumbaan satu hari, jadi ia tidak memberikan sebarang kesan kepada saya dan saya mahu melakukan yang terbaik dalam saingan jelajah tahun ini," katanya.

Sementara itu, turut membuat kemunculan semula dalam kejohanan tersebut ialah pemenang pingat emas Sukan SEA 1995, Tsen Seong Hoong, yang mewakili pasukan Kuala Lumpur.

"Anda memerlukan cita-cita yang tinggi untuk menjadi salah seorang atlet berbasikal. Anda harus sentiasa menghadirkan perasaan untuk mencabar kemampuan diri," kata Seong Hoong.