Pelumba basikal lebuh raya negara, Sofian Nabil Omar Bakri, ingin membuat kejutan dalam Jelajah Selangor bermula Rabu ini apabila beraksi dengan pasukan Amskins Racing Club.

Pasukan baru Amskins Racing Club menyenaraikan beberapa pelumba ternama seperti Anuar Manan yang merupakan raja pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, pelumba negara, Sofian, dan bekas pelumba MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah.

Walaupun pasukan itu baru sahaja ditubuhkan, Sofian percaya dengan senarai pelumba yang sedia ada, mereka mampu membuat kejutan dalam Jelajah Selangor.

"Kami berharap segalanya berjalan lancar dan percaya Anuar akan mengatur perancangan untuk pasukan dalam saingan Jelajah Selangor," kata Sofian.

Sementara itu, Hafizh tidak menafikan penglibatannya dalam aksi jentera empat roda dan sukan berbasikal mungkin menjadi kerjaya barunya jika nasib tidak menyebelahinya dalam dunia permotoran.

"Saya akan cuba yang terbaik. Buat masa sekarang saya tidak boleh jangka di mana tahap prestasi saya dalam sukan berbasikal. Saya tidak meletakkan sasaran podium, cukup sekadar habiskan lima peringkat, itu boleh dikira pencapaian yang bagus.

"Saya sendiri tidak buat latihan dengan rakan sepasukan yang lain kerana jadual yang padat. Sukan berbasikal ini pun bukan bidang saya tapi disebabkan saya minat berbasikal dan ia sebahagian daripada latihan untuk sukan permotoran saya, jadi tidak salah cuba pergi lebih jauh," katanya.

Jelajah Selangor akan menyajikan perlumbaan lima peringkat bermula di Pulau Indah dan berakhir di Shah Alam dengan jarak keseluruhan 678.8 kilometer.