Pelumba PDRM, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, terpaksa berpuas hati untuk menamatkan saingan peringkat kedua Kejohanan Berbasikal Siri Jelajah Selangor hari ini di tempat keenam ekoran kekurangan persiapan.

Nik Mohd Azwan menamatkan perlumbaan itu dengan mencatat 4'4:20.637 saat untuk menjadi pelumba Malaysia terawal tiba di garisan penamat.

Bagaimanapun, dia tetap berbangga dengan pencapaian yang melibatkan jarak 159.4 kilometer dari Sungai Buloh ke Kajang itu susulan kurang persiapan selepas terlibat dengan Sukan SEA Filipina.

Meskipun mengakui sukar untuk mengejar mata pendahulu ketika ini, Nik Mohd Azwan tidak menolak sebarang kemungkinan memintas mata tersebut.

"Sejak Sukan SEA, saya tidak berkayuh dan hanya melakukannya pada hari pertama kejohanan ini.

"Jadi, hampir dua minggu saya tidak berkayuh.

"Tetapi saya sudah mula mendapat rentak untuk mengekalkan kedudukan," katanya.

Buat masa ini, dia mahu fokus untuk sekurang-kurangnya mengekalkan momentum dalam laluan dari Cyberjaya ke Bukit Jugra esok.

"Di atas kertas, tiada pelumba lain yang dapat memintasnya (Marcus Culey) kecuali ada masalah teknikal ataupun tahap fizikalnya yang tidak mengizinkan," tambahnya.

Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Culey, mengekalkan rentak cemerlangnya apabila muncul juara peringkat kedua.

Dia dibezakan 2 minit dan 20 saat dengan pemenang tempat kedua, Shotaro Watanabe, daripada Aisan Racing Team, disusuli peserta daripada Terengganu Cycling Team (TSG), Maral Erdene Batmunkh.

Perkara itu secara tidak langsung mengekalkan statusnya sebagai penyarung jersi kuning selain Culey juga mengungguli jersi hijau dan polka dot.

"Saya berada di kedudukan yang selesa sepanjang perlumbaan hari ini.

"Rakan sepasukan melakukan tugasan dengn baik ketika pecahan kelompok.

"Oleh kerana saya berasa segar dan bertenaga, saya 'menyerang' zon pendakian terakhir lalu melakukan pecutan penuh sehingga garisan penamat," kata pelumba dari Australia itu.

Culey, bagaimanapun, optimis mengekalkan kemenangan dalam peringkat ketiga yang melibatkan zon pendakian tertinggi kategori satu di Bukit Jugra.

"Bergantung kepada pecahan kelompok dan ia satu peluang untuk menawan satu lagi peringkat.

"Jika tidak, kami akan mengambil pendekatan santai sedikit."