Wilma Jahir Perez Munoz mencipta kejayaan berganda untuk Team Sapura Cycling (TSC) apabila bukan sahaja menjuarai peringkat keempat Jelajah Malaysia 2017, malah mengesahkan jersi polka dot raja bukit hari ini ketika perlumbaan berbaki satu lagi peringkat.

Munoz pada awalnya ketinggalan di belakang kelompok pemecahan yang agresif sepanjang laluan dari Kulim ke Gunung Jerai sejauh 101.3km.

Pelumba berusia 31 tahun itu meningkatkan rentak kayuhan ketika menghampiri zon pendakian kategori hors ke Gunung Jerai apabila menghambat pendahulu, Samuel Volkers dari CCN Cycling Team.

Pendaki kelahiran Colombia itu menggunakan kepakarannya untuk melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 2 jam 50 minit 41 saat dan lebih menarik, rakan sepasukannya, Victor Nino Corredor, di tempat ketiga.

"Ini kejayaan yang cukup penting. Pasukan kami baru membuat penampilan pertama dalam perlumbaan ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu saya sepanjang peringkat ini," katanya.

Kejayaan ini menyaksikan Munoz merampas jersi polka dot dan berjaya mengesahkan gelaran itu dengan kelebihan tujuh mata berbanding pencabar terdekat dengan peringkat terakhir esok menawarkan empat mata maksimum.

Pendakian kategori hors setinggi 1,217m di Gunung Jerai sememangnya cukup sukar buat pelumba tempatan, namun pujian buat pelumba Kuala Lumpur, Azli Najmi Zulkefli, yang muncul pelumba terbaik negara di tangga ke-11.

"Saya akui bukan berada di tahap pelumba elit Malaysia tetapi saya sedaya-upaya cuba untuk melebihi pencapaian mereka.

"Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya.

"Pendakian Gunung Jerai lebih tinggi dan mencabar berbanding laluan Cameron Highlands yang lebih panjang sedikit," kata pelumba berusia 19 tahun itu.

Pujian juga buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, apabila hampir pasti mengekalkan jersi hijau raja pecut manakala Muhammad Zawawi Azman (TSC) dengan jersi merah selaku pelumba terbaik Malaysia.

Jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan dijangka kekal milik pelumba Olivers Real Food Racing, Brendan Davids, dengan kelebihan 24 saat menjelang peringkat terakhir.