Hasrat untuk menyaksikan wakil negara, Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG), berentap dengan dua pasukan dari Iran tidak kesampaian apabila salah satu wakil Timur Tengah itu menarik diri daripada saingan Jelajah Malaysia 2016, yang berlangsung hari ini hingga 22 Oktober.

Pasukan yang dimaksudkan itu adalah Tabriz Petrochemical yang tidak menyenaraikan pelumba mereka sewaktu proses pendaftaran akhir pasukan, semalam.

Perkembangan itu menyaksikan pasukan Pishgaman Giant menjadi wakil tunggal dari Iran untuk saingan kali ini.

Pishgaman dijangka menjadi antara pilihan di samping kelab Jepun, Kinan Cycling Team, untuk memburu gelaran pasukan terbaik, dengan TSG mampu menjadi pesaing hebat buat mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Malaysia 2016, Musairi Musa, tiada sebarang kenyataan rasmi dilakukan oleh pasukan Tabriz mengenai keputusan mereka menarik diri daripada saingan.

“Jika Tabriz menyertai Jelajah Malaysia 2016, mereka mampu memberikan saingan yang sengit kepada pasukan Pishgaman Giant,” kata Musairi semasa majlis pengenalan pasukan yang mengambil bahagian dalam saingan Jelajah Malaysia 2016 di Cheras, semalam.

Turut hadir, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab.

Jelajah Malaysia 2016 yang akan disertai 16 pasukan dari rantau Asia Pasifik, meliputi lima peringkat sepanjang 750.2km di Semenanjung Malaysia.

Laluan Jelajah Malaysia 2016

Peringkat 1, 18 Okt: Kuala Lumpur – Ipoh (206.6km)
Peringkat 2, 19 Okt : Infoternak Sungai Siput – Brinchang (108.7km)
Peringkat 3, 20 Okt : Gua Musang – Pasir Puteh (163km)
Peringkat 4, 21 Okt : Machang – Gong Badak (124.8km)
Peringkat 5, 22 Okt : Kemaman – Kuala Terengganu (147.1km)