"Ini bukan salah ADAMAS," demikian komen Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan Asia (OCA), Tan Sri Dr M. Jegathesan, selepas Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) didakwa gagal melaksanakan tugas berhubung tiga kes positif pada hujung tahun ini.

Jelasnya, ADAMAS sudah melaksanakan tugas dengan baik, namun mustahil bagi badan itu dapat memantau pergerakan atlet 24 jam sehari.

Ia susulan kes doping membabitkan penerjun, Wendy Ng Yan Yee, Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) dan terbaru, seorang atlet muay Thai negara.

Ada pihak mendakwa program pendidikan dan kesedaran ADAMAS tidak cukup berkesan tetapi ia dinafikan Jegathesan.

"Apabila anda mendapat tahu bahawa atlet anda terlibat dengan isu doping, sudah tentu ia satu perkara yang perlu diambil berat.

"Pihak ADAMAS mungkin boleh cuba untuk memberikan lebih pendedahan kepada atlet-atlet terhadap segala perkara berkaitan bahan terlarang, apa yang mereka perlu dan tidak perlu ambil," katanya.

Jika dibandingkan sejak 2012, kes tahun ini adalah yang paling rendah manakala jumlah tertinggi melibatkan kes doping ialah pada 2014 dengan 16 kes.

Dalam perkembangan lain, Jegathesan selaku bekas raja pecut Asia 1966 turut mengulas mengenai kegagalan Khairul Hafiz Jantan terpilih ke dalam Program Podium.

"Dia masih mempunyai tempoh masa yang lama untuk menyinar. Jadi, dia tidak perlu risau. Apa yang perlu dilakukan adalah teruskan latihan gigih dan cuba memperbaiki catatan masa," katanya.