Atlet bina badan Sabah, Jauneh Leman, dinobat selaku juara kategori terbuka Man Of Steel Borneo 2016 di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau, yang memiliki pengalaman luas dalam sukan berkenaan, menewaskan empat finalis lain, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, medal, trofi dan barang tajaan.

Tempat kedua pula disandang seorang lagi peserta Sabah, Henro Lee, manakala Hanafy Mohd Henry di tempat ketiga dengan mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM500.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Firdaus Ahmad dari Sarawak muncul juara bagi kategori Men's Physique atas 170cm untuk membawa pulang hadiah RM1,200, medal dan trofi.

Dua peserta dari Sabah, Konrad Jr Jomilon Mojuntin dan Abdul Jiad Ibrahim, pula sekadar berpuas hati di tempat kedua serta ketiga dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM600 dan RM300.

Bagi kategori Men's Physique atas 170cm pula, seorang lagi peserta Sabah, Jesley Justin, berjaya muncul juara sementara tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Mohammad Sofian Sahdan dari Brunei dan Zaid Moheyer dari Kuala Lumpur.

Dengan kemenangan itu, Jesley menerima hadiah wang tunai RM1,200, medal dan trofi manakala Sofian Mohammad Sofian serta Zaid masing-masing mendapat hadiah RM600 dan RM300.