Jangan terbuai-buai dengan hadiah, anugerah - Khairy

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2016 4
Jangan terbuai-buai dengan hadiah, anugerah - Khairy
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berharap atlet negara, termasuk atlet Paralimpik, tidak terus terbuai-buai dengan hadiah dan anugerah yang diterima susulan kejayaan di Sukan Olimpik dan Paralimpik 2016, baru-baru ini. 

Seperti dipetik dalam laporan Berita Harian, Khairy berkata hadiah dan anugerah itu seharusnya menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi semangat serta prestasi atlet, terutama mengharungi acara sukan penting pada masa depan, khususnya Sukan SEA 2017 dan Sukan Olimpik 2020. 

"Jangan hanyut dengan pengiktirafan yang diterima. Kenangkan semula bagaimana kehidupan awal sebelum bakat anda dicungkil. 

"Jadikan hadiah dan anugerah yang diterima untuk meningkatkan lagi prestasi dalam kejohanan besar akan datang," katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pemenang Pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 di Menara NAZA, hari ini. 

Pada majlis itu, Kumpulan Naza menyampaikan hadiah suite kediaman Trion 888, Equine Park bernilai RM350,000 seunit dan keluaran terbaru Kia Sportage (RM121,888) kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016. 

Mereka ialah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (lari 100 meter), Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh). 

Pemenang pingat gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh) pula menerima kereta Kia Rio Sedan. 

Hadir sama, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan isteri, Tun Jeanne Abdullah, yang juga Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, serta Pengerusi Kumpulan NAZA yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasaruddin SM Nasimuddin. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen