Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, yang disahkan positif COVID-19 berada dalan keadaan stabil dan sihat.

Dalam kiriman menerusi laman Facebook peribadinya malam tadi, Jackie berkata dia sedang menjalani pemantauan dan rawatan lanjut di Hospital Sibu selepas muncul atlet pertama negara positif wabak COVID-19, Isnin lalu.

Dia turut menegur netizen supaya tidak berkongsi sebarang berita yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya juga ingin menegur di sini supaya jangan mengeluarkan atau berkongsi berita-berita yang palsu dan belum disahkan oleh KKM. Anda amat dihargai!," katanya.

Ayahnya, Ahli Parlimen Sarikei,Wong Ling Biu, disahkan positif COVID-19 sehari sebelumnya.

"Mengenai dengan ayah saya, keadaan beliau pada hari ini lebih baik berbanding beberapa hari lalu walaupun masih menggunakan alat bantuan pernafasan," tambahnya sambil meminta rakan-rakan Facebooknya untuk terus berdoa untuk ayah dan keluarganya.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan jarak 68.22 meter.

-- BERNAMA