Atlet wusyu negara, Loh Jack Chang, tidak pasti sejuh mana kecederaannya mampu dipulihkan ketika Institut Sukan Negara (ISN) menerusi Program Podium masih meletakkan harapan tinggi untuk dia menyumbang emas dalam Sukan Asia Indonesia tahun depan.

Kecederaan berpanjangan membuatkan Jack Chang gusar andai dia gagal memenuhi tuntutan negara ketika keyakinan terus diberikan dengan mengekalkannya dalam program termahal itu.

Juara dunia itu mengalami masalah kekurangan pelincir pada sendi lutut dan pangkal paha sejak 2010 hingga membataskan proses latihannya, apatah lagi tahap kesukaran dalam saingan sukan wusyu semakin meningkat saban tahun.

Dia kini dalam proses pemulihan dan akur dengan keputusan daripada pegawai perubatan jika masalah kecederaannya itu memaksa dia bersara dalam masa terdekat.

"Sekarang ini, saya masih 50-50 lagi sebab saya masih buat pemulihan dan fisioterapi. Saya akan buat imbasan MRI.

"Ia (beraksi) pun memerlukan kebenaran daripada doktor juga. Kita tengok nanti apa cadangan doktor," katanya.

Hakikatnya Sukan Asia Indonesia 2018 merupakan peluang terakhirnya untuk menyumbang pingat emas buat negara selepas terlepas dua edisi lalu di Guangzhou dan Incheon ekoran kecederaan yang sama.

"Kebanyakannya disebabkan oleh kecederaan. Sebenarnya sudah lama saya menanggungnya. Sebab itu saya berhempas-pulas," katanya.

Jack Chang merupakan pemegang emas dalam Kejohanan Wusyu Dunia di Jakarta pada 2015 menerusi acara taijiquan, selain dua emas dalam Kejohanan Wusyu Dunia di Poland 2016 juga menerusi acara sama.