Menjelang saingan Ironman Langkawi 2016, yang akan membuka tirai 12 November ini, dua wakil Malaysia, Hafiza Othman dan Yee See Mun, berkongsi kisah tentang erti kejohanan antarabangsa itu buat mereka.

Hafiza, peserta wanita berusia 32 tahun, bakal membuat penampilan pertamanya dalam edisi Ironman kali ini.

Pernah mencapai berat lebih 106 kilogram, dia bertekad untuk menjalani gaya hidup sihat sejak setahun lalu sehingga mendorongnya terlibat melakukan aktiviti lasak seperti berlari dan berbasikal.

Giat menjalani persediaan sejak Februari tahun ini, matlamatnya adalah untuk menamatkan saingan dalam masa yang ditetapkan.

"Ini kali pertama saya sertai acara penuh Ironman. Saya memberanikan diri untuk mendaftar selepas saya berjaya menyempurnakan tiga setengah acara Ironman sebelum ini," jelasnya.

Lain pula kisah seorang warga emas berumur 79 tahun, Yee Sze Mun.

Merupakan veteran dalam saingan Ironman, Sze Mun yang mesra dengan panggilan Uncle Yee, mula terlibat dengan Ironman sejak dia berumur 58 tahun.

Sehingga kini, Uncle Yee sudah menyertai hampir 20 edisi Ironman di serata dunia, termasuk enam kali ketika Kejohanan Dunia Ironman berlangsung di Konaa, Hawaii.

Namun, kemalangan jalan raya pada awal Mac lalu memaksanya berehat daripada menyertai saingan Ironman Langkawi 2016.

"Selepas saya menjalani pemeriksaan kesihatan pada usia 48 tahun, saya diberitahu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

"Dari situ, saya mula memasuki gim dan bersenam. Kini ia sudah menjadi sebahagian daripada diri saya," ujarnya.