Persekutuan Golf Antarabangsa (IGF) dan Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC) bersetuju membuat perubahan kepada sistem kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tarikh baru penganjuran temasya itu pada 2021 diumumkan.

Justeru, pemain mula mengumpul mata kelayakan berdasarkan Ranking Olimpik Golf (OGR) sehingga tarikh akhir bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing pada 21 dan 28 Jun 2021 untuk mengisi 60 slot ke Sukan Olimpik Tokyo.

IOC mengumumkan tarikh baru Sukan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Pengarah Eksekutif IGF, Antony Scanlon, dalam satu kenyataan berkata keputusan menentukan tarikh baru itu dilihat sebagai kaedah yang adil untuk menentukan pemain layak ke Tokyo.

“Kami gembira IOC setuju dengan perubahan yang sangat penting ini. IGF akan terus bekerjasama rapat dengan IOC dan Tokyo 2020 mencari jalan penyelesaian terbaik kerana penangguhan temasya sukan itu telah memberi kesan kepada sukan dan atlet.

“Kami tetap komited dalam menyediakan pertandingan golf yang selamat dan adil, dan memberi pengalaman terbaik buat atlet apabila mereka menyertai Sukan Olimpik pada 2021 nanti,” katanya.

Sistem OGR ditentukan berdasarkan ranking rasmi golf dunia (OWGR) untuk kategori lelaki manakala bagi kategori wanita pula berpandukan sistem ranking dunia wanita (WWGR).

Pada 20 Mac lalu, sistem penentuan ranking OWGR dan WWGR ditangguhkan kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia, sebelum semakan semula mata kelayakan dibuat pada 2 April dengan mengambil kira dua tahun tempoh lapang dan pindaan terhadap tarikh akhir kelayakan.

IGF juga memaklumkan bahawa mata OGR dikumpul berdasarkan pencapaian mereka di setiap pertandingan, menyaksikan mata lebih banyak diperolehi jika kejohanan yang disertai lebih kompetitif.

Tamat tempoh kelayakan, kelompok 15 pemain terbaik akan layak ke Sukan Olimpik dengan terhad empat pemain dari setiap negara anggota, manakala bagi selebihnya ditentukan berdasarkan ranking dengan terhad dua pemain dari setiap negara anggota yang belum mempunyai wakil.

-- BERNAMA