Atlet olahraga para negara, Siti Noor Iasah Mohd Ariffin, terpaksa menerima dengan hati terbuka selepas namanya tidak disenaraikan untuk menyertai Kejohanan Olahraga IPC Dunia di London, Julai lalu.

Apa yang menyedihkan, keputusan itu menyaksikan Iasah gagal menyertai sebarang kejohanan penting selepas kali terakhir tampil dalam Sukan Paralimpik Rio pada September tahun lalu.

Justeru, Iasah mengharapkan Sukan Para ASEAN yang bakal bermula tidak lama lagi mampu menjadi pengubat rindunya pada aksi di balapan.

"Ia bukan daripada segi peribadi atau saya menghadapi apa-apa masalah. Sebelum itu, saya sudah mempersiapkan diri untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia tetapi nama saya tidak disenaraikan walaupun saya sudah bersedia untuk menebus kembali kekecewaan sebelum itu.

"Apa yang perlu dikatakan, bukan rezeki saya,"

Iasah yang juga pemegang rekod Asia acara 400 meter T20 dengan catatan masa 58.55 saat menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas yang diraih dua tahun lalu bagi kategori 400m dan 800m T20, sambil turut menamakan Sukan Para Asia tahun depan sebagai salah satu sasaran utamanya.

"Tahun depan ada Para Asia, jadi itu yang kami berikan lebih tumpuan dan fokus daripada segi masa serta prestasi."