Pengerusi Jawatankuasa Perubatan, Majlis Olimpik Asia (OCA), Tan Sri Dr M. Jegathesan, mengesahkan wujud klausa dalam Peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) bahawa hukuman penggantungan terhadap atlet boleh dikurangkan daripada empat tahun.

Hukuman penggantungan, katanya, adalah berdasarkan tahap kesalahan atlet.

Itu, tegas Jegathesan, merujuk kepada klausa 10.5.2 kod peraturan WADA yang mengatakan hukuman penggantungan boleh dikurangkan berdasarkan panel siasatan sesebuah kes.

"Dalam kes di mana bahan terlarang yang digunakan dianggap memberi kesan mendadak, WADA sememangnya mengekalkan pendirian tegas, namun itu tidak bermakna bahawa tiada ruang untuk memberikan pengurangan penggantungan.

"Bagaimanapun, beberapa aspek akan diambil kira, contohnya atlet tidak terlibat secara langsung dengan pengambilan bahan terlarang tersebut.

"Senario ini akan dinilai oleh ahli jawatankuasa sebelum membuat keputusan. Sama ada pihak lain menerima atau tidak keputusan itu, itu perkara lain," jelasnya.

Ketika ini, wujud perdebatan apabila Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengenakan penggantungan dua tahun terhadap Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan yang dikesan positif steroid ketika kem latihan pusat di China, April lalu.

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mendakwa hukuman itu tidak selaras dengan kod WADA dimana atlet positif steroid sepatutnya digantung empat tahun.

Namun, PABM kekal dengan pendirian dengan menegaskan mereka sudah menjalankan kajian mendalam dan sudah memaklumkan keputusan itu kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).